Oleh Peter Lee
Berbilion Ditinggalkan
Baru-baru ini, saya terbaca satu laporan yang mengejutkan dimana kerajaan kini memegang lebih RM13.3 bilion wang tidak dituntut setakat April 2025.
Wang ini datang daripada akaun bank yang tidak aktif, deposit tetap yang telah tamat tempoh, bayaran insurans, dividen, dan pelbagai sumber lain. Semua ini disimpan di bawah Akta Wang Tak Dituntut, dan orang ramai boleh menuntutnya melalui sistem eGUMIS.
Namun persoalan yang timbul ialah bagaimana pula dengan simpanan KWSP dan pampasan insurans yang tidak dituntut?
KWSP & Insurans: Perangkap Tersembunyi
Ramai tidak sedar bahawa insurans dan KWSP juga boleh menjadi sebahagian daripada jumlah wang tidak dituntut.
Pada tahun 2017, Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) melaporkan bahawa lebih RM327 juta bayaran insurans hayat tidak dituntut dalam tempoh lima tahun. Sementara itu, pada tahun 2015, sekitar RM422 juta simpanan KWSP juga masih belum dituntut.
Sebahagian besar kes ini berlaku kerana tiada penama atau tiada perancangan harta pusaka. Akibatnya, keluarga terpaksa melalui proses undang-undang yang panjang dan rumit untuk menuntut wang tersebut.
Kisah Sebenar
Kes 1: KWSP tanpa penama
Seorang lelaki meninggal dunia tanpa menamakan sesiapa untuk akaun KWSP-nya. Keluarga terpaksa memohon Surat Kuasa Mentadbir (L.A.). Prosesnya menjadi rumit kerana si mati tiada isteri, anaknya pula orang kurang upaya, dan ahli keluarga perlu mendapatkan sijil kematian ibu bapa si mati sebelum boleh meneruskan permohonan. Ia mengambil masa lama dan menimbulkan tekanan emosi.
Kes 2:Insurans tanpa penama
Seorang wanita membeli polisi insurans tetapi tidak pernah menamakan penerima. Selepas beliau meninggal dunia, keluarganya terpaksa memohon L.A. dan mengesahkan kematian ibu bapanya. Disebabkan tidak mahu melantik peguam, tuntutan itu akhirnya tertangguh tanpa penyelesaian.
Kes 3: Waris hilang
Seorang warga emas meninggal dunia tanpa wasiat atau penama. Beliau mempunyai empat anak lelaki dimana seorang adalah muflis dan seorang lagi hilang tanpa khabar. Semua waris perlu bersetuju sebelum L.A. boleh diproses, tetapi kehilangan seorang anak menyebabkan permohonan terhenti.
Kes-kes seperti ini bukan luar biasa. Ia berlaku di seluruh negara dan inilah antara sebab mengapa jumlah wang tidak dituntut di Malaysia terus meningkat.
Cinta Itu Dalam Perancangan
Pengajarannya mudah: buat penamaan untuk KWSP dan insurans anda, dan semak dari semasa ke semasa.Langkah kecil ini boleh memudahkan keluarga anda menuntut wang dengan cepat apabila tiba masanya.
Selain itu, sediakan juga wasiat. Wasiat membantu sekiranya penama meninggal dunia terlebih dahulu, atau berlaku tragedi yang melibatkan anda dan penama.
Dalam wasiat, anda boleh:
- Menamakan waris pengganti bagi KWSP dan insurans anda.
- Menubuhkan Amanah Wasiat (Testamentary Trust) untuk anak di bawah umur atau anak istimewa.
- Menjelaskan dengan jelas siapa yang akan menjaga dan menguruskan harta anda.
Pilihlah Wasi/Pemegang Amanah dan penjaga dengan bijak, dan berbincanglah dengan keluarga agar semua faham dan bersedia.
Renungan Akhir: Sejauh Mana Cinta Anda?
Akhirnya, perancangan harta bukan hanya mengenai dokumen, tetapi juga mencerminkan kasih sayang dan tanggungjawab.Apabila anda meluangkan masa untuk merancang demi keluarga anda, anda sedang menunjukkan kasih sayang yang sebenar dan “Sejauh mana cinta anda?” ❤️